Saturday, April 3, 2010

Subhanallah, Romantikya dia.......................( ^_^ )



Subhanallah!!,Romantiknya Rasulullah s.a.w............

Menghabiskan masa sekian lama bertungkus lumus mencari rujukan dan membuat kajian bagi Latihan Ilmiah berkaitan tajuk, Komunikasi Interpersonal : Komunikasi Suami Isteri dibawah subjek Komunikasi Dakwah, akhirnya telah menemukan kami kepada sebuah nilai ilmu yg dirasakan amat berharga & "Romantik".. Sepanjang membuat kajian melalui buku-buku,majalah dan artikel-artikel yg sewaktunya dengannya...hamba sebagai PIC yg bertanggungjawab untuk menyiapkan Bab "Teladan Rumahtangga Rasulullah s.a.w" berasa amat teruja dan kekadang terasa "bercinta keseorangan", berilusi sendiri... Subhanallah...sungguh tidak ku sangka Baginda s.a.w rupanya..................Subhanallah,tiada kata yg mampu terluah utk menggambarkn.. Yg pasti,membaca kisah Rasulullah s.a.w membuatkan hati terasa cukup bahagia wlaupun diri bukanlah antara pendampingnya.


TELADAN KEMESRAAN RUMAHTANGGA RASULULLAH S.A.W


1. Memanggil pasangan dengan panggilan yang mesra.

Islam menyuruh para suami supaya memanggil isteri dengan nama kesukaan dan yang disenangi olehnya. Andai isteri mempunyai beberapa nama, maka suami hendaklah memilih di antara nama-nama tersebut yang boleh menggambarkan kecintaan dan ungkapan kasih sayang melalui panggilan tersebut. Panggilan mesra ataupun panggilan manja yang digunakan dalam ungkapan seharian sebenarnya secara tidak langsung mampu menyuburkan lagi rasa cinta dan kasih sesama pasangan sekaligus dapat melahirkan rasa penghargaan dan hormat antara satu sama lain.

Baginda Rasulullah s.a.w sendiri sering memanggil Aisyah r.a dengan beberapa nama panggilan yg disukainya, seperti Ummu Abdillah, ‘Aish dan Humairah ( yang berpipi kemerahan-merahan bak delima ).


Diriwayatkan daripada Aisyah r.a, katanya : Baginda Rasul s.a.w pada suatu hari berkata : “ Wahai ‘Aish, sesungguhnya Jibrail telah memberitahu supaya aku menyampaikan salam untukmu. Aku menjawab : Waalaikummusalam warahmatullahi wabarakatuh, sesungguhnya engkau mengetahui perkara-perkara yang tidak aku ketahui. Yang dimaksudkan oleh Aisyah ialah baginda Rasul s.a.w sendiri.
( Riwayat Bukhari )



2. Bergurau senda dengan isteri.

Salah satu cara untuk mewujudkan iklim ataupun suasana yang ceria dan bahagia dalam sebuah rumahtangga ialah dengan mencontohi teladan rumahtangga baginda Rasulullah s.a.w yang diwarnai dengan gurau senda, senyuman dan tawa yang membawa kepada rasa bahagia dan ketenangan yang asyik dalam melayari bahtera kehidupan rumahtangga. Gurau senda dapat memecahkan kesuraman yang melingkari serta dapat mengeratkan lagi kasih sayang sesama pasangan.

Belakangan ini, antara yang menyumbang kepada peningkatan kes-kes perceraian adalah berpunca daripada suramnya rumahtangga, suami isteri tidak pandai hendak menghiburkan hati sesama pasangan. Malah, ada pasangan berkerjaya yang terbawa-bawa cara komunikasi di tempat kerja di rumah sehingga menimbulkan rasa canggung sesama mereka langsung menjarakkan lagi jurang yang telah sedia ada sementelah masa untuk bersama kurang kerana masing-masing perlu keluar bekerja.

Contoh yang boleh diambil dan dipraktikkan melalui teladan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w :


Diriwayatkan daripada Aisyah r.a, katanya : “ Pada suatu hari aku dan baginda Rasulullah s.a.w melakukan musafir. Ketika itu sebenarnya aku masih tergolong kurus, dan hal ini menyebabkan aku tidak merasa sukar atau tidak terlalu keletihan dalam menempuh perjalanan itu. Ketika itulah baginda Rasul berkata kepada rombongan kami : “Berjalanlah kamu lebih dahulu”. Lalu rombongan tersebut pun berjalan mendahului kami”. Apabila rombongan tersebut telah berjalan meninggalkan kami di belakang, maka baginda Rasul s.a.w berkata kepadaku : “ Bagaimana kalau kita berlumba dan aku yakin akan dapat mengalahkan engkau”. Lantas aku dan baginda Rasul pun berlumba dan pada akhirnya aku menang. Kemudian dari itu baginda tidak menyuruh aku bekerja sehingga tubuhku semakin gempal dan berat badanku semakin bertambah. Lalu pada suatu hari aku dan baginda Rasul s.a.w pergi musafir. Musafir tersebut diikuti oleh ramai orang, maka baginda Rasul s.a.w pun berkata kepada mereka : “Berjalanlah kamu lebih dahulu”. Merekapun berjalan meninggalkan kami.
Ketika itulah baginda Rasul s.a.w berkata kepadaku : “Bagaimana kalau kita berlumba sekali lagi dan aku akan dapat mengalahkan engkau”. Sebenarnya ketika itu aku sudah lupa kami pernah berlumba dan baginda Rasul s.a.w kalah, sedangkan pada waktu itu aku sudah mempunyai tubuh yang gempal dan berat badan yang lebih. Aku menjawab : “Tentu saja aku akan kalah kerana badan aku gemuk seperti sekarang”. Namun baginda Rasul s.a.w beria-ia untuk mengajak aku berlumba hingga akupun setuju. Perlumbaan itu akhirnya dimenangi oleh baginda Rasul s.a.w. Setelah aku kalah kepadanya maka baginda Rasul tertawa sambil berkata : “Aku telah menebus kekalahanku yang lalu”.

( Riwayat Ahmad dan Abu Daud )



Selain itu,

Diriwayatkan daripada Aisyah r.a , katanya : Baginda Rasul s.a.w pernah pulang setelah perang Tabuk atau perang Hunain. Di rumah kami ada tirai yang aku gunakan untuk menutup. Ketika itu tiba-tiba angin berhembus hingga kain tirai tersingkap maka nampaklah anak-anak mainanku dibaliknya. Lantas baginda Rasul s.a.w bertanya : ‘Apa itu, wahai Aisyah? ”. Aku menjawab : “Mereka adalah anak-anak mainanku”. Maka baginda Rasul s.a.w mendatangi anak-anak mainan kepunyaanku itu dan ternyata di antaranya ada anak mainan yang berbentuk seekor kuda yang mempunyai dua kepak yang diperbuat daripada kain. Melihat itu baginda Rasul s.a.w bertanya : “Ada sesuatu yang aneh di antara mainan kepunyaanmu itu. Apakah itu?”. Aku menjawab : “Itu adalah kuda kepunyaanku”. Baginda Rasul s.a.w bertanya lagi : “Lantas apa yang di atasnya?” Aku berkata : “Kedua-duanya adalah kepak bagi kuda tersebut’. Baginda berkata : “Setahu aku kuda tidak mempunyai kepak”. Aku menjawab : “Bukankah engkau pernah mendengar cerita Nabi Sulaiman yang mempunyai beberapa kuda yang berkepak?”. Mendengar kata-kataku tersebut, baginda Rasul s.a.w tertawa sehingga kelihatan giginya.
( Riwayat Abu Daud )


Rasulullah s.a.w bersabda : “ Sesungguhnya tiap-tiap sesuatu selain zikir kepada Allah s.w.t adalah permainan yang tidak mendatangkan sebarang faedah selain dari empat perkara : Seorang suami yang bergurau senda dengan isterinya, seseorang yang melatih kudanya, seseorang yang berjalan menuju dua tujuan, dan seseorang yang belajar berenang.”
( Riwayat al-Nakha’i )


3. Saling bermesra dan bermanja sesama pasangan melalui komunikasi non-verbal
Untuk meningkatkan kemesraan dan kasih sayang sesame pasangan juga kadang-kadang tidak memerlukan kita untuk sentiasa mengungkapkan rasa cinta dan kasih tersebut. Sekali sekala cukup dengan menggambarkannya melalui perbuatan ataupun gaya bahasa badan. Hal ini malah lebih romantik dan menyentuh hati pasangan sebenarnya.



Diriwayatkan daripada Aisyah r.a, katanya : “ Pada satu hari ketika aku sedang datang bulan, lalu aku minum dari gelas baginda Rasul s.a.w. Apabila baginda Rasul s.a.w melihat perbuatanku tersebut, maka baginda pun meminum air yang ada di gelas itu betul-betul di tempat mulutku meminum dari gelas tersebut. Bahkan ketika aku datang bulan dan dalam keadaan berkeringat, aku pernah memberikan gelas pada baginda Rasul s.a.w kemudian baginda minum darinya betul-betul dari tempat aku minum pada gelas tersebut”.
( Riwayat Muslim )


Selain itu,

Diriwayatkan juga daripada Aisyah r.a, katanya : Aku pernah melihat baginda Rasul s.a.w menaungi aku dari terik matahari dengan kain serban baginda sendiri, kerana pada ketika itu aku sedang asyik menonton orang-orang Habsyah sedang membuat pertunjukan di masjid, akhirnya aku merasa jemu melihat permainan tersebut.
( Riwayat Bukhari dan Muslim )


Menurut riwayat lain pula, dikatakan bahawa Aisyah pernah memberitahu : “ Tiba-tiba muncullah beberapa orang berkulit hitam dan membuat pertunjukan di hadapan baginda Rasul s.a.w pada hari raya. Lalu baginda Rasul s.a.w mengajak aku pergi menonton pertunjukkan itu. Maka aku dibiarkan baginda Rasul menonton dari atas bahunya sehingga aku merasa puas”.

( Riwayat An-Nasa’i )


* Rasulullah sa.w juga suka berbaring dipangkuan isterinya sambil membaca al-Quran,

Dari A’isyah r.a : “Rasulullah s.a.w biasa meletakkan kepalanya dipangkuanku walaupun aku sedang haid, kemudian baginda membaca Al-Quran..”
( Hadith Riwayat : Abdurrazaq )


* Mencium pasangan,

Dari Hafsah, puteri Umar r.a : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w biasa mencium isterinya sekalipun sedang berpuasa…”
( Hadis Riwayat : Ahmad )


* Pandangan tulus kasih dan belaian sayang sesama pasangan, seperti mana yang diiriwayatkan dalam hadis berikut bahawa :

Nabi s.a.w bersabda, “Sesungguhnya seorang suami melihat isterinya (dengan kasih sayang) dan isterinya pun melihatnya (dengan kasih sayang pula), maka Allah s.w.t melihat kedua-duanya dengan pandangan kasih sayang. Dan apabila suami memegang telapak tangan isterinya, maka dosa-dosa mereka keluar dari celah jari-jari tangan mereka”.
( Riwayat Rafi’I dari Abu Sa’id )


Dan daripada Aisyah r.a berkata ; “Adalah Rasulullah s.a.w tidaklah setiap hari melainkan baginda mesti mengelilingi kami semua ( isterinya ) seorang demi seorang. Lalu baginda menghampiri dan membelai kami dengan tidak mencampuri, sehingga baginda singgah ke tempat isteri yang baginda giliri waktunya, lalu baginda bermalam ditempatnya”.
( Riwayat Ahmad dan Abu Dawud )


* Menyisir rambut pasangan juga merupakan satu bentuk komunikasi non-verbal yang boleh dipraktikkan untuk mengeratkan kasih sayang sesama pasangan,

Daripada Aisyah r.a : “Aku pernah menyisir rambut Rasulullah s.a.w, padahal aku sedang haid”.
( Riwayat Tirmidzi )


Diriwayatkan juga, daripada Aisyah, dia berkata ; “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w mengeluarkan kepalanya ke tempatku saat baginda di masjid, lalu aku menyisirkannya dan selama beriktikaf baginda tidak masuk rumah, kecuali kerana suatu keperluan”.
( Riwayat Bukhari dan Muslim )


4. Mengambil hati pasangan dengan memberikan hadiah atau sekali sekala mengajak pasangan bermusafir ( bersiar-siar ).

Disebutkan dalam hadis berikut ;
“Hendaklah kamu saling member hadiah, nescaya kamu akan saling mencntai”.
( Riwayat Ibnu Asakir )

Dan diriwayatkan daripada Aisyah r.a, katanya ; “ Baginda Rasul s.a.w mengadakan undian di antara para isterinya apabila baginda hendak bermusafir. Maka orang yang menang di antara undian tersebut dialah yang akan menemani baginda dalam musafir tersebut”.
( Riwayat Imam yang Lima selain Abu Daud )



5. Menyejukkan kemarahan pasangan dengan mesra dan mengubati hati pasangan
tika dalam kesedihan.

Rasulullah s.a.w biasa memicit hidung A’isyah jika dia marah dan baginda berkata “ Wahai Uwaisy, bacalah doa; Wahai Tuhanku, Tuhan Muhammad, ampunilah dosa-dosaku, hilangkanlah kekerasan hatiku dan lindungilah diriku dari fitnah yang menyesatkan…”
( Hadith Riwayat : Ibnu Sunni )

Dan diriwayatkan juga daripada Anas bin Malik r.a, katanya ;
“ Ummul Mukminin Safiyah pernah mendengar bahawa Hafsah mengatakan dia sebagai seorang Yahudi, setelah mendengar itu safiyah menangis. Kemudian baginda Rasulullah s.a.w datang dan terus mendekati Safiyah yang sedang menangis. Lalu baginda Rasulullah s.a.w berkata : “ Mengapa engkau menangis, wahai Safiyah? Maka Safiyah menjawab : “Habsah mengatakan aku anak Yahudi”. Maka baginda Rasulullah s.a.w bersabda : “Sesungguhnya engkau adalah anak nabi, bapa saudaramu seorang nabi, dan suami mu pun seorang nabi, Lalu apakah yang dia banggakan daripadamu?”. Kemudian baginda Rasul s.a.w mengakhiri : “Bertaqwalah kepada Allah wahai Hafsah”.
( Riwayat Nasa’i dan Tirmidzi )


6. Saling mendoakan sesama pasangan dan mengharapkan keredhaan Allah atas rumahtangga yang telah didirikan.
Daripada Abu Hurairah, berkata beliau, “Rasulullah s.a.w bersabda ; “ Sesungguhnya Allah memberi rahmat kepada seorang wanita yang bangun solat malam dan dia bangunkan suaminya untuk solat malam. Jika suaminya tidak mahu, dia percikkan air ke muka suaminya”.
( Riwayat Ahmad, Nasa’i , dan Ibnu Hibban )


7. Saling mencintai setulus hati.

Suatu hari Rasulullah s.a.w sedang berada dihalaman rumah.
Tiba-tiba Rasulullah meninggalkan A’isyah dan menuju ke arah seorang perempuan. Rasulullah memanggilnya dan mengajaknya berbicara…
A’isyah bertanya : “Siapakah perempuan tua ini?” Rasulullah menjawab : “Inilah sahabat Khadijah dulu..” lalu A’isyah berkata, “Engkau sebut-sebut juga Khadijah padahal Allah telah menggantikannya dengan isteri yg lebih baik…”
Lalu bagindapun berkata : “ Demi Allah tidak ada yang dapat menggantikan Khadijah. Dialah yg memberikan kpdku kebahagiaan ketika orang menghinaku. Dialah yang menghiburku dalam penderitaan ketika semua orang membenciku. Dialah yang memberikan seluruh hartanya kepadaku ketika semua orang menahan pemberiannya. Dan dialah yg menganugerahkan kepadaku anak ketika isteri-isteri yang lain tidak memberikannya….’
( Riwayat Bukhari & Muslim )



Akhirul kalam, hanya ungkapan “Subhanallah” yang mampu terluah. Romantiknya Rasulullah s.a.w , terlalu banyak contoh dan teladan yang baginda Rasulullah s.a.w telah tinggalkan kepada kita sebagai pedoman dalam melayari bahtera rumahtangga agar ke akhirnya dirimbuni bunga-bunga kebahagiaan kerana sering disirami dengan air ketaqwaan kepada Allah s.w.t yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Moga-moga berkekalan dan bertemu kita kembali dengan kekasih hati yang dicintai tulus sanubari, di syurgawi yang kebahagiaannya pasti lagi hakiki, Insya’Allah.


P/S : Ada banyak lagi sebenarnya shbt2 al-kisah teladan ttg 'Betapa romantiknya Rasulullah s.a.w, namun kami xmampu nk kongsikan kesemuanya didlm blog ini, andai berminat untuk meneladani kisah2 rumahtangga baginda s.a.w..shbt2 bolehla merujuk senarai beberapa rujukan yg disertakn di bwh..Barakallahulakum Bikhoir (^_^)


BIBLIOGRAFI :

Al-Quran Al-Karim.

Ahmad Zawawi Abdullah, ( 2008 ). Panduan Merancang Keluarga Bahagia, Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.


Fatimah Syarha Mohd Noordin, ( 2009 ). Pemilik Cintaku Setelah Allah & Rasul, Kuala Lumpur : Telaga Biru Sdn.Bhd.

Muhammad Abduh Yamani, ( 2008 ). Khadijah: Cinta Abadi Kekasih Nabi, Selangor : PTS Islamika.

Muhammad Abdul Halim, ( 1995 ). Suami Yang Membahagiakan Isteri, ( Terjemahan, Mohd Sofwan Amrullah ), Selangor : Pustaka Ilmi.

Mohd Fadzilah Kamsah & Syaidatun Nazirah Abu Zahrin, ( 2004 ). Psikologi Cinta, Pahang : PTS Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Saodah Wok, Narimah Ismail, & Mohd.Yusof Hussain, ( 2003 ). Teori-teori Komunikasi, Kuala Lumpur : PTS Professional.

Sharifah Fakhrudin, ( 1996 ). Rasulullah s.a.w : Model Utama Kepimpinan Rumahtangga, Johor Bharu : Perniagaan Jahabersa.

1 comment:

  1. amboi adik along ni..dah mcm nak kawin lak.. along nak cuit skit yek..

    ReplyDelete