Thursday, January 21, 2010

J I W A C I N T A S E O R A N G D A I E . . .




Ya Allah, aku mohon cintaMU, dan cinta orang yang mencintaiMU, serta semua amalan yang yang mendekatkanku kepada cintaMU..”
( Munajat Rasulullah s.a.w kepada Kekasihnya yang Maha Tinggi dan Maha Agung )

“Jiwa Cinta Seorang Da’ie...” , sengaja saya pilih tajuk yang mungkin kedengaran agak puitis bagi sesetengah orang yang berjiwa romantis. Namun bukanlah kisah cinta biasa yang ingin dibicarakan di sini, akan tetapi tentang cinta termahal yang tidak mungkin akan mampu dibeli oleh mana-mana jutawan pun atas seluruh muka bumi ini melainkan “ Jutawan Iman dan Taqwa.”
10 tahun yang lalu , tidak pernah terlintas pun di hati ini untuk menawan cintaNya. Malah tidak pernah terdetik pun dalam sanuburi jiwa rasa “jatuh cinta” pada Dia. Saya tidak pernah ambil tahu apa-apa pun tentang diriNya. Benar,tiada sebarang rasa pun untuk mencintaiNya.
Bersyukur kini, 10 tahun yang lalu bukan lagi saya . CintaMu kini menjadi cita-cita terulung dalam hidup. Banyak yang telah diri ini ketahui tentang diriMu. Kau buat diri jadi penasaran apabila terkenang akan kejahilan silam. Benar,saya telah jatuh cinta… izinkan diri untuk terus-menerus meraih cintaMU.
Ya Rabbi , cintailah hamba yang dhoif lagi hina ini.


S U R A T C I N T A B E R B A U S Y U R G A…

“Assalamualaikum w.b.t ,
Maafkan akak sebab terpaksa tulis surat ni untuk adik. Akak tak punya kekuatan untuk tegur adik secara berdepan, akak tak sanggup tengok muka adik sedih, sebab akak yakin adik seorang yang baik dan akak amat menyayangi adik.
Dik, akak harap adik gunakanlah handphone yang akak bagi dengan sebaiknya. Akak bagi adik
handphone untuk memudahkan adik menghubungi keluarga di kampung dan untuk sebarang
urusan yang memerlukan adik menghubungi sesiapa yang berkenaan. Tapi, akak harap sangat
adik dapat kurangkan berhubung dengan kenalan muslimin adik atas urusan-urusan yang tidak
penting. Akak sayangkan adik…akak nak adik termasuk dalam golongan bidadari-bidadari
syurga yang menjadi idaman para mujahid. Maafkan akak..akak harap kehadiran surat ini tidak akan menjadi hijab kepada keakraban kita sebelumnya, maafkan akak..”
Akak mu,
Khalila..

Inilah antara surat-surat “cinta” yang pernah saya terima daripada insan-insan yang amat mencintai saya. Banyak lagi sebenarnya, dan ini hanyalah salah satu daripadanya. Untuk apa saya paparkan surat ini ?
“Ya Allah, jauhilah aku daripada perasaan riak, takbur, sombong dan angkuh…”
Tujuannya ialah untuk kita contohi metodologi yang digunakan oleh kakak saya dalam usaha dakwah, amar makruf nahi mungkar ke atas diri saya. Metodologi dakwah yang digunakan oleh beliau penuh hikmah, seperti mana firman Allah s.w.t :

ادع الى سبيل ربك بلحكمة والموعظة الحسنة و جادلهم بالتي هي احسن . ان ربك هواعلم بمن ضل عن سبيله وهو اعلم بالمهتدين .

“ Serulah mereka kepada jalan Tuhan dengan bijaksana dan pengajaran yang baik, dan bertukar fikiranlah dengan mereka menurut cara yang sebaik-baiknya. Sesungguhnya Tuhan mu lebih tahu siapa yang tersesat jalannya, dan Dia lebih tahu pula orang-orang yang menurut jalan yang benar.“ (surah an-Nahl, ayat 125)

Menurut tafsir Ibnu Katsir, ayat ini menerangkan tentang firman Allah s.w.t yang memerintahkan Rasul-Nya supaya menyeru manusia, mengajak ke jalan Allah s.w.t dengan hikmah kebijaksanaan dan nasihat serta anjuran yang baik. Dan jika orang itu mengajak berdebat, maka bantahlah mareka dengan cara yang baik. Allah s.w.t lebih mengetahui siapa yang durhaka tersesat dari jalan-Nya dan siapa yang bahagia berada dalam jalan yang lurus yang ditunjukkkan oleh Allah s.w.t. Maka janganlah menjadi kecil hatimu hai Muhammad bila ada orang-orang yang tidak mahu mengikutmu dan tetap berada dalam jalan yang sesat. Tugasmu hanyalah menyampaikan apa yang diwahyukan oleh Allah s.w.t kepadamu dan memberi peringatan kepada mereka, sedang Allah s.w.t lah yang akan menentukan dan memberi petunjuk, serta DIA-lah yang akan meminta pertanggunggjawaban hamba-Nya kelak di hari kiamat.
Sebagai seorang da’ie juga seharusnya mempunyai rasa cinta terhadap mad’u. Seorang Da’ie yang berjiwa “cinta mad’u” akan sentiasa cuba belajar untuk memahami mad’u yang diseru, sebelum dia boleh meletakkan harapan agar mad’unya memahami dakwah yang dibawa.


J I W A S E O R A N G D A’I E

Seterusnya, dalam surah an-Nahl : 126-128 juga Allah telah berfirman :
-و انعاقبتم فعا قبوا ابمثل ما عوقبتم ولئن صبرتم لهو خيرللصابرين . -و اصبر وما صبرك الاّ بالله ولا تحزن عليهم ولاتك في ضيق مما يمكرون . - ان الله مع الذين اتقواو الذين هم محسنون .

“ Dan jika kamu membalas, maka balaslah dengan (balasan) yang sama dengan siksaan yang ditimpakan kepadamu. Tetapi jika kamu bersabar, sesungguhnya itulah yang lebih baik bagi orang yang sabar. Dan bersabarlah (Muhammad) dan kesabaranmu itu semata-mata dengan pertolongan Allah dan janganlah engkau bersedih hati terhadap (kekafiran) mereka dan jangan (pula) bersempit dada terhadap tipu daya yang mereka rencanakan. Sungguh, Allah berserta orang-orang yang bertakwa dan orang-orang yang berbuat kebaikan..”

Tafsir Ibnu Katsir menjelaskan bahawa dalam ayat ini, Allah s.w.t berfirman memerintahkan orang untuk berlaku adil dalam membalas perlakuan yang tidak patut dan wajar dari orang lain. Hendaklah ia melakukan pembalasan sama dan seimbang dengan perlakuan yang diterimanya. Akan tetapi jika ia dapat menahan dirinya dan bersabar, maka kesabaran itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang bersabar.
Kemudian Allah s.w.t juga berfirman, “ Bersabarlah engkau hai Muhammad, dan sesungguhnya engkau tidak dapat berlaku sabar melainkan dengan pertolongan Allah s.w.t dan kehendakNYa. Dan janganlah engkau bersedih hati dan bersempit dada menghadapi orang-orang yang menentangmu dan melakukan tipu daya terhadap dirimu dan ketahuilah bahawa Allah s.w.t akan tetap melindungimu , menolongmu, dan menenangkan engkau di atas musuh-musuhmu. Sesungguhnya Allah s.w.t menyertai orang-orang yang bertakwa dan beramal baik.
Semasa hayat Hasan al-Banna, beliau pernah berhadapan dengan suatu peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Ahli Jemaah di sebuah masjid bertelagah soal rakaat Solat Tarawih, sama ada patut dibuat lapan atau dua puluh rakaat. Suasana begitu tegang sehingga timbul bahasa-bahasa yang keras. Akhirnya, apabila Hasan al-Banna muncul, beliau ditanya oleh mereka yang bertelagah itu, mana satukah pendapat yang betul dalam hal ini?
Kata Hasan al-Banna, “Apakah hukum solat tarawih dan apakah pula hukum menjaga kesatuan umat Islam?” Mereka menjawab, “solat tarawih itu sunat, manakala menjaga kesatuan umat Islam adalah wajib”.
Lantas Hasan al-Banna menjawab, “Apakah kamu mahu mengorbankan kesatuan umat Islam yang wajib itu hanya kerana soal solat terawih yang sunat? Bagi yang mahu menunaikan lapan, tunaikan lapan, bagi yang mahukan 20, bebas juga berbuat demikian”.
Inilah yang saya maksudkan sebagai Jiwa Cinta Seorang Daie..
Bagi kita yang berperanan sebagai Da’ie, perlu sentiasa ingat bahawa tugas kita adalah untuk mengumpulkan manusia seramai mungkin di bawah panji Islam. Untuk itu kita perlu mengamalkan suatu akhlak yang diajar oleh Nabi s.a.w. untuk para Da’ie.
Ketika seorang Arab badwi masuk ke masjid dan kencing ke dinding masjid, Baginda SAW menegah sahabat daripada bertindak ke atas Badwi itu. Dia datang dengan kesilapan adab, tetapi dengan niat mahu mempelajari Islam. Utamakan niat tersebut, dan teladan Nabawi ini saya simpulkan ia di bawah suatu sikap positif berbunyi, “Seek First to Understand, Then to be Understood“.
Kita perlu belajar untuk memahami mad’u yang diseru dan bukannya siang malam pagi petang berleter marahkan orang ramai yang tidak faham-faham akan mesej Islam yang kita cuba bawa.
Dalam isu Hasan al-Banna di atas, jiwa dan cintanya sebagai seorang Da’ie tidak melihat perbalahan soal afdhaliyyah Solat Terawih sebagai soal hukum atau masalah nas. Masalah yang berlaku di masjid berkenaan adalah masalah SIKAP dan CARA BERFIKIR.
Perbezaan pandangan tentang keutamaan di antara 8 atau 20 rakaat solat Sunat Tarawih itu sudah lama, seusia dengan umur umat ini. Namun ia tidak pernah menjadi racun yang membunuh kesatuan umat, sehinggalah persoalan hukum dikelabukan oleh permasalah yang lebih besar.
1. Masalah sikap.
2. Masalah akhlaq.

Hal seperti itu bukanlah masalah yang boleh diselesaikan dengan melambakkan sebanyak mungkin nas al-Quran dan Hadith kerana dengan cara berfikir yang salah, tiada siapa yang mampu menghargai nas al-Quran dan Hadith. Inilah yang banyak berlaku di dalam masyarakat kita dan saya tidak menyalahkan orang ramai seandainya mereka bosan dengan pendekatan para agamawan yang asyik menyelesaikan masalah dengan pendekatan ‘hukumnya ialah…” .
Mungkin masih ramai dalam kalangan agamawan sekarang yang masih keliru akan erti dan konsep dakwah itu sendiri, tidak dapat dinafikan wujud dalam kalangan da’ie yang hanya menjadi golongan “tabi’ tabien”, hanya ikut sahaja tanpa berusaha untuk mengkaji dan memahami tugas dan peranan seorang da’ie yang sebenarnya. Hal inilah yang menyebabkan timbulnya masalah mad’u “menyampah” dengan golongan da’ie. Cara pembawaan atau metodologi dakwah yang digunakan tidak sesuai. Contohnya, dalam menganjurkan sebuah program islamik, pengisian dakwah yang disampaikan tidak “mesra mad’u”, terlalu banyak bermain dengan persoalan hukum-hukum. Daie tidak cuba untuk mengeksploitasikan pengucapan dakwah ke arah sebuah perbincangan yang berbentuk lebih santai dan menarik.

“Argh..susahnya berdakwah ni!..”
“Kalau begitu apalah erti dakwah ini sebenarnya?..”


Baiklah, berikut merupakan himpunan definisi berkaitan dengan “DAKWAH” yang dapat saya kumpul untuk dikongsikan bersama-sama kalian :

D E F I N I S I D A K W A H :

Dakwah mengikut Kamus Dewan Edisi ketiga ialah kegiatan menyeru dan meyakinkan orang lain supaya menerima sesuatu kepercayaan.[1]
Menurut Ensiklopedia Islam dakwah membawa maksud setiap kegiatan yang bersifat menyeru, mengajak dan memanggil orang untuk beriman dan taat kepada Allah s.w.t sesuai dengan garis akidah, syariat dan akhlak Islamiah. Secara kebahasaan, dakwah adalah kata dasar (masdar) dari kata kerja da’a-yad’u yang bererti panggilan, seruan atau ajakan. Kata dakwah sering dirangkaikan dengan kata “ilmu” dan kata “Islam”, sehingga menjadi “ilmu dakwah” dan “dakwah Islam” atau al-da’wah al-Islamiyah[2].
Manakala menurut Ensiklopedia Malaysiana dakwah bererti menyeru. Dalam konteks agama dakwah ialah menyeru ke jalan Allah. Perkataan dakwah juga bermaksud masyarakat Islam. Pada zaman Fatimiyyah, dakwah bererti doktrin, agama, masyarakat, mazhab dan parti kepada imam[3].
Menurut Idris Ahmad pula dakwah ialah mengajak manusia kepada pengabdian diri kepada Allah s.w.t, ia adalah suatu tugas yang mulia dan ia juga merupakan tugas para nabi dan rasul apabila diutuskan menjadi rasul[4].
Menurut Abu ‘Urwah, pengertian dakwah dari segi bahasa membawa maksud menyeru atau memanggil, sama ada kepada perkara yang haq atau batil. Selain itu, seruan kepada Allah s.w.t[5].
Allah s.w.t berfirman, Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad): “Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada agama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha Suci Allah (dari segala i’tiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain”. Surah Yusuf (13): 108

Dari segi istilah syara’ pula membawa pengertian yang lebih khusus iaitu seruan atau panggilan ke jalan Allah s.w.t[6].
Muhammad al-Ghazali menjelaskan maksud dakwah sebagai satu program (barnamij) yang lengkap, yang kesemua peringkatnya mengandungi semua ilmu pengetahuan yang diperlukan oleh manusia bagi menjelaskan tujuan dan matlamat hidup dan bagi menyingkap petunjuk jalan yang menjadi petunjuk kepada mereka[7].
Menurut Ibn Taimiyyah dakwah adalah satu usaha seruan ke arah beriman kepada Allah s.w.t dan apa yang disampaikan oleh rasul-rasul-Nya iaitu dengan membenarkan segala perkara yang disampaikan oleh para rasul dan mentaati perintah mereka. Antara tugas dakwah adalah menyuruh (al-amru) melaksanakan apa yang disukai Allah dan rasul-Nya akan perkara yang wajib dan sunat, zahir dan batin. Tugas dakwah juga terdiri daripada menegah (an-nahyu) segala larangan Allah dan rasul-Nya sama ada zahir atau batin. Tidak sempurna dakwah kiranya tidak ke arah melaksanakan apa yang dikehendaki Allah dan meninggalkan apa yang tidak disukai-Nya, sama ada dari perkataan atau perbuatan zahir[8].
Berdasarkan pengertian tersebut, dakwah merupakan satu kegiatan yang dijalankan oleh segolongan manusia untuk menjalankan menyeru manusia kepada mentaati Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Di samping itu menegah manusia yang melakukan kemungkaran agar kembali ke jalan yang benar.
________________________________________
[1] Teuku Iskandar, Dr. 1996. Kamus Dewan. Ed.3. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka. Hlm: 263.
[2] Ensiklopedia Islam. 1994. Cet. 3. J.1. Jakarta: PT Ichtiar Baru Van Hoeve. Hlm: 280.
[3] Ensiklopedia Malaysiana. 1996. J.4. Kuala Lumpur: Anzagain Sdn. Bhd. Hlm: 24.
[4] Idris Ahmad. 2005. Teks Usrah Peringkat Pengenalan. Cet. 3. Kuala Lumpur: Percetakam Saufi. Hlm: 30
[5] Abu ‘Urwah. 1999. Konsep-konsep Umum Islam Kuala Lumpur: Pustaka Salam. Hlm: 124.
[6] Ibid. Hlm: 124.
[7] Muhammad al-Ghazali. 1981. Ma’a Allah. Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi. Hlm: 17.
[8]Abu ‘Urwah. Op.Cit. Hlm: 124.

PENUTUP :
Kesimpulannya, setiap individu bertanggungjawab atas tugasnya sebagai seorang da’ie, dan hendaklah menunaikan kewajipan berdakwah mengikut kemampuan dan metodologi dakwah masing-masing.
Sabda Rasulullah s.a.w : “ Sampaikanlah apa yang (kamu terima) daripadaku walaupun hanya satu ayat..”
Firman Allah s.w.t : “ Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang memanggil kepada Allah s.w.t , dan dia mengerjakan perbuatan baik dan berkata : Sesungguhnya aku termasuk orang yang menyerah diri ( ampang ).

No comments:

Post a Comment