Wednesday, January 6, 2010

KHUTBAH JUMAAT : MEDIUM DAKWAH PALING AMPUH...



Salah satu medium dakwah yang paling ampuh ialah khutbah Jumaat. Namun sedihnya belakangan ini tidak ramai para agamawan, ilmuwan dan yang sewaktu dengannya mengambil kira medan khutbah Jumaat ini sedemikian. Sedangkan kalau kita renung kembali sirah kegemilangan Islam pada suatu masa dahulu, salah satu medium penting yang digunakan oleh baginda Rasulullah dan para sahabat dalam menyebar dakwah dan taujihad ialah melalui khutbah Jumaat. Tetapi apa yang berlaku sekarang, rata-rata menganggap khutbah Jumaat hanyalah sebagai pelengkap kepada rukun solat Jumaat.
Dalam kondisi masyarakat Malaysia yang semakin hari tahap kesedaran terhadap Islam semakin subur serta pembinaan masjid-masjid yang saban hari semakin banyak, bolehlah dikatakan bahawa peranan khutbah Jumaat merupakan salah satu medium terpenting dalam usaha untuk menyampaikan dakwah kepada seluruh masyarakat muslim umumnya dan di Malaysia khususnya.

Kenapa khutbah jumaat dikatakan sebagai salah satu medium penting dalam usaha penyebaran dakwah? Kenapa tidak ceramah-ceramah agama? Forum-forum ataupun diskusi? Tanpa menafikan kepentingan medium-medium dakwah yang lain, terdapat 2 elemen dalam khutbah jumaat yang harus kita manfaatkan sebaiknya:

1. Khutbah Jumaat tidak memerlukan promosi besar-besaran untuk menarik kehadiran mad’u.
2. Memang sudah pasti akan ada mad’u yang akan hadir paling kurangpun seramai 40 orang untuk mendengarnya (syarat sah solat Jumaat).

Oleh yang demikian, jelaslah kepada kita semua bahawa khutbah Jumaat merupakan satu medium dakwah yang penting dalam memperkasakan pembangunan ummah. Mungkin ada yang mempertikaikan kekurangan khutbah Jumaat sebagai medium dakwah yang ampuh kerana majoriti kapasiti mad’u yang hadir mendengar khutbah Jumaat adalah dalam kalangan kaum adam. Tapi andai kita singkap apakah tanggungjawab kaum adam itu sendiri, sudah pasti hal ini tidak akan menjadi pertikaiannya. Inilah antara yang membuktikan betapa Islam itu cukup sempurna. Kaum adam diwajibkan untuk mendengar khutbah Jumaat (umpama satu sesi muhasabah diri), tidak kepada kaum hawa. Hal ini kerana, kaum adam merupakan pemimpin, pemimpin kepada kaum hawa, pemimpin kepada keluarga dan juga pemimpin kepada negara. Nah di sinilah peranan penting khutbah Jumaat ini dalam proses pembangunan ummah.

Namun, ada beberapa aspek juga yang perlu diperbaiki dalam menyampaikan khutbah bagi merealisasikan ia sebagai satu medium dakwah yang ampuh. Pertama, dari aspek penyampaian khutbah oleh para khatib yang telah dilantik. Isi, gaya dan cara penyampaian khutbah amat penting bagi memastikan mad’u yang hadir benar-benar mengambil perhatian dan mendengar isi-isi khutbah yang cuba disampaikan. Oleh hal yang demikian, para khatib perlulah mengambil berat ketiga-tiga aspek yang telah dinyatakan. Sebelum menyampaikan khutbah, kenal pasti terlebih dahulu tajuk yang sesuai dalam situasi masyarakat di sekitar kawasan tersebut. Juga kenal pasti tahap IQ para mad’u yang dijangka akan hadir bagi memastikan isi khutbah yang cuba disampaikan mampu diterima dan difahami oleh mad’u.

Selain itu, gaya dan cara penyampaian khutbah Jumaat juga mungkin boleh diubah sesuai dengan peredaran zaman. Mungkin khatib juga boleh menyampaikan khutbah dengan bantuan tayangan slideshow ataupun power point untuk menarik perhatian mad’u yang semakin hari semakin intelektual sejajar dengan arus perkembangan teknologi.
Humor dalam penyampaian khutbah juga turut memainkan peranan dalam menarik perhatian para mad’u yang hadir. Para khatib segelintirnya ada yang terlalu serius dan menganggap khutbah Jumaat sebagai suatu yang terlalu formal sehinggakan gaya penyampaian dan intonasi suara yang digunakan kelihatan agak kaku dan stereotaip. Intonasi suara yang digunakan oleh para khatib hampir serupa kerana terikut-ikut dengan gaya penyampaian khutbah oleh para khatib diluar negara khususnya di negara-negara arab.

Dalam hal ini, para khatib perlu mengambil kira bahawasanya para mad’u yang hadir bukanlah hanya dalam kalangan warga tua dan dewasa sahaja, malah remaja serta kanak-kanak. Oleh itu, peranan khatib sebagai penyampai isi dakwah untuk memastikan setiap lapisan mad’u yang hadir menerima dan memahami apa yang hendak disampaikan adalah amat penting. Selain itu, budaya dan cara berkomunikasi masyarakat Malaysia juga agak berbeza dengan negara-negara arab. Akhirnya, di sinilah pentingnya juga peranan institusi masjid itu sendiri dalam melantik khatib yang berkaliber dan berketrampilan. Mungkin boleh diadakan satu unit khas yang akan bertanggungjawab dalam hal ini daripada institusi masjid itu sendiri sebagai usaha untuk memperkasakan para khatib di setiap masjid-masjid di Malaysia.


CADANGAN RUJUKAN :

Abdullah Hassan ( 2001 ) : “Komunikasi Untuk Pendakwah”,PTS Consultants Sdn.Bhd.

Zulkiplie Abd.Ghani ( 2001 ) : “Islam, Komunikasi dan Teknologi Maklumat”,Utusan Publications and Distributors Sdn.Bhd.

Pusat Penerbitan Universiti ( UPENA ) ( 2007 ) : “Islam dan Komunikasi”.

No comments:

Post a Comment