Friday, May 7, 2010

MASJID : MEDAN PENTARBIYAHAN UMMAH




MASJID : MEDAN PENTARBIYAHAN UMMAH

Oleh
Siti Noor Rohaniza Habari
Jabatan Dakwah & Pembangunan Insan
Universiti Malaya


PENDAHULUAN

Institusi masjid mempunyai peranan yang sangat besar dalam memperkasa agenda pentarbiyahan ummah. Tika kegemilangan Islam di bawah pentadbiran Rasulullah s.a.w, masjid menjadi pusat pentadbiran yang utama. Malah, masjid pada ketika itu juga turut menjadi tempat tahanan tawanan perang, tempat penyimpanan senjata-senjata peperangan dan sebagainya. Sungguh diluar hemat kita rasanya untuk menjadikan masjid sebagai markas ketenteraan pada masa kini. Sudah pasti akan dipandang hairan dan pelik. Kenapa hal sebegini berlaku? Ini kerana mentaliti umat Islam pada masa kini telah terjajah oleh pemikiran sekular sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak sehingga ramai dalam kalangan umat Islam sendiri pada masa kini hanya memandang masjid sebagai sebuah institusi peribadatan semata-mata. Jauh sekali sebagai sebuah institusi yang sepatutnya menjadi salah satu medan penting untuk didekati atau sebagai pelengkap dalam menjalani kehidupan seharian. Kenapa dikatakan pelengkap? Cuba kita renung kembali bagaimana Rasulullah telah mampu menjadikan masjid sebagai “One Stop Centre” bagi umat Islam di zaman baginda sehingga mampu menjadi salah satu lambang kesatuan ummah pada tika itu dan bagaimana Rasulullah s.a.w mampu menjadikan masjid sebagai medan pentarbiyahan ummah yang paling ampuh sehingga mampu membuatkan seantero dunia tidak lagi memandang enteng akan kemampuan dan kekuatan umat Islam. Hatta, setelah berkurun lama sepeninggalan bagindapun, umat Islam masih lagi digeruni terutamanya oleh para musuh Islam laknatullah. Buktinya, sehingga kini mereka sanggup berhabisan wang ringgit, tenaga masa dan menggadaikan nyawa demi untuk memikir dan merancang pelbagai agenda dan strategi untuk menghapuskan umat Islam.


MASJID : MEDAN PENTARBIYAHAN UMMAH

Perkataan masjid diulang sebanyak 28 kali di dalam Al-Quran. Dari segi bahasa, perkataan masjid berasal daripada kata dasar sajada daripada bahasa arab yang bermaksud sujud, patuh , taat serta tunduk dengan penuh rasa hormat dan kesedaran. Manakala pengertiannya daripada konsep kehidupan seharian pula, secara kesimpulannya bermaksud tempat solat atau tempat peribadatan umat Islam.
Medan membawa maksud lapangan atau ruang. Manakala pentarbiyahan berasal daripada perkataan tarbiyah dalam bahasa arab yang bermaksud pendidikan. Dalam buku Manhaj Tarbiyah ‘indal Ikhwanul Muslimin menterjemahkan tarbiyah sebagai “cara ideal dalam berinteraksi dengan fitrah manusia, baik secara langsung melalui kata-kata mahupun secara tidak langsung dalam keteladanan, sesuai dengan sistem dan peringkat khusus yang diyakini untuk memproses perubahan dalam diri manusia menuju kondisi yang lebih baik”.

Ummah pula didefinisikan sebagai masyarakat atau umat manusia. Perkataan ummah disebut sebanyak 40 kali dalam Al-Quran dan perkataan ummah di dalam Al-Quran merujuk kepada semua makhluk termasuk jin, malaikat, manusia dan makhluk-makhluk lain. Namun, dalam skop perbincangan masjid sebagai medan pentarbiyahan ummah, ianya lebih merujuk kepada masyarakat atau umat manusia.


MASJID : PENTARBIYAHAN MERANGKUMI SETIAP LAPISAN UMMAH

Ummah merujuk kepada setiap lapisan masyarakat, bermula daripada kanak-kanak hinggalah kepada yang tua. Masjid mampu memainkan peranannya sebagai medan pentarbiyahan yang ampuh kepada setiap lapisan ummah kerana realitinya kebanyakan golongan masyarakat yang sering berkunjung ke masjid atau yang menjadikan masjid sebagai rumah keduanya, adalah terdiri daripada kalangan yang sedar akan tanggungjawab sebagai seorang muslim dan mempunyai keinginan untuk ‘mentarbiyah’ diri menjadi seorang muslim yang lebih bertaqwa. Sabda Rasulullah s.a.w, “ Telah dijadikan untukku (dan umatku) bumi sebagai masjid dan sarana penyucian diri “
(HR Bukhari dan Muslim melalui Jabir bin Abdullah) .

Firman Allah s.w.t juga, yang bermaksud: " Nur hidayah petunjuk Allah bersinar dengan nyata (terutama sekali) di masjid sebagai tempat ibadat yang diperintah oleh Allah supaya dimuliakan dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat memuji Allah pada waktu pagi dan petang. (Ibadat dikerjakan oleh) orang yang kuat imannya, yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual beli daripada menyebut serta mengingati Allah dan mendirikan solat serta mengeluarkan zakat; mereka takut hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan ” ( surah an-Nur : 36-37 ) .

Oleh yang demikian, beberapa langkah perlu diambil dalam usaha untuk menjadikan masjid sebagai sebuah institusi yang mampu menjadi tulang belakang dalam mendokong agenda pentarbiyahan ummah sekaligus menjadi ‘kilang’ dalam melahirkan kader-kader da’ie yang mapan sebagai persiapan dalam mengharungi mehnah dan tribulasi dunia yang mendatang.


MASJID : MERENCANA AGENDA PENTARBIYAHAN UMMAH

Masjid perlu merancang beberapa agenda tarbiyah yang sesuai untuk setiap lapisan ummah termasuklah non-muslim. Bermula daripada bayi, kanak-kanak,remaja, dewasa serta warga tua, apatah lagi kepada golongan yang benar-benar jahil akan Islam, sekadar Islam pada namanya. Agenda pentarbiyahan ini tidak semestinya hanya dilakukan dengan mengadakan program-program khusus berbentuk keagamaan, ceramah, forum dan sebagainya. Tetapi mengambil inisiatif yang lebih kreatif dan kritis dengan memenuhi ruang dan peluang yang ada untuk melaksanakan agenda pentarbiyahan ini sama ada secara langsung ataupun tidak.

Al-Imam Al-Baidhawi r.a (meninggal tahun 685 Hijrah) ada menyebut di dalam tafsirnya Anwar At-Tanzil Wa’asrar Ta’wil bahawa : ” Al-Rabb itu pada maknanya bermaksud tarbiyah iaitu yang menyampaikan sesuatu kepada kesempurnaannya secara beransur-ansur..”

Di dalam sirah kita mengetahui bahawa Islam ialah agama tarbiyah yang mementingkan proses pembentukan manusia dan pendidikannya secara bertahap sehingga menuju kesempurnaan sebagai hamba Allah s.w.t dan itulah yang dimaksudkan dengan ‘tarbiyah’ iaitu memenuhi tuntutan berubudiyah kepada Allah s.w.t secara bertahap melalui proses pendidikan dan pembentukan.


MASJID : SEBAGAI PUSAT ASUHAN DAN BIMBINGAN AWAL KANAK-KANAK

Tanggungjawab pasangan selepas dikurniakan anak ialah memastikan anak-anak mereka mendapat 'pentarbiyahan' dan pendidikan serta kasih sayang yang secukupnya. Mereka perlu memastikan anak dibesarkan melalui teknik pendidikan cara Islam yang sempurna supaya dia tidak menjadi 'fitnah' kepada ibu bapa seperti mana firman Allah s.w.t :

“Sesungguhnya hartamu dan anakmu hanyalah cubaan (bagimu) dan di sisi Allah s.w.t pahala yang besar”
( Surah at-Taghabun : 15 )

Menurut Prof Dr.Muhamad Uqlah di dalam bukunya 'Pendidikan anak dalam Islam' menjelaskan bahawa masjid adalah sebaik-baik tempat untuk mendidik anak. Menurut ulama, anak yang diajar pergi ke masjid dibesarkan dengan rasa cinta kepada masjid.

Terdapat beberapa hadis khusus yang menyebut mengenai kanak-kanak dan masjid :

1) Hadis riwayat Ahmad, Hakim dan Nasa'ei: Nabi Muhammad tidak bangkit daripada sujudnya ketika mengimamkan solat di masjid apabila baginda ditunggang oleh cucunya. Sahabat menyangka bahawa baginda telah wafat ketika melakukan sujud itu.

2) Hadis riwayat Ahmad dengan sanad yang sahih: Rasullullah bersabda apabila ditanya mengapa baginda mempercepatkan solatnya? Baginda menjawab, "Aku terdengar tangisan seorang bayi. Aku rasa ibunya sedang bersolat dengan kita. Jadi aku mempercepatkan solat itu supaya ibunya dapat memenuhi keperluan anak itu".

3) Hadis riwayat oleh Bukhari dan Muslim: Nabi Muhammad mendukung dan meletakkan cucu baginda yang bernama Umamah Abi Al-Ash di dalam solat berjemaah bersama sahabat.

Adapun, mengenai sebuah hadis yang bermaksud : "Jauhilah anak kamu dan orang gila dari masjid", ulama hadis seperti Ibnul Jauzi, Al-Munziri, Al-Busairi, Al-Haitami dan Al-Hafiz Ibnu Hajjar Al-Asqalani bersepakat mengatakan bahawa hadith berkenaan adalah hadith dhoif yang tidak boleh dijadikan hujah.

Hal ini kerana, ianya bertentangan dengan sunnah Nabi yang mana baginda amat mengasihi dan menyayangi kanak-kanak, malah seperti keterangan hadith yang telah diterangkan tadi jelas menunjukkan bagaimana baginda senang bermain atau bermesra dan melayan kanak-kanak ketika di masjid. Dari sini jelas kepada kita bahawa larangan membawa anak ke masjid adalah pendapat bertentangan dengan 'Hikmah Tasyri' yang inginkan kita supaya melatih anak pergi ke masjid untuk bersolat dan mendapat ilmu daripada penceramah selain daripada memperoleh kawan yang baik. Dan di sinilah juga, secara tidak langsung akan berlakunya proses pentarbiyahan secara unformal dan sesuai dengan psikologi kanak-kanak.


MASJID : SEBAGAI SEKOLAH KEDUA REMAJA

Masjid seharusnya mampu untuk memainkan peranan sebagai sekolah kedua remaja, di mana di sini remaja akan di tarbiyah pada aspek jasadiyah dan kerohanian. Apakah yang dimaksudkan sebagai sekolah kedua ini? . Menurut Storn dan Church, mereka menyifatkan remaja sebagai satu keadaan apabila individu dapat membezakan dirinya daripada alam kanak-kanak dan bersedia untuk melangkah ke alam dewasa. Peringkat umur tersebut bermula ketika individu berumur 13 tahun yang menandakan bermulanya cabaran dan perkembangan seseorang individu itu. Pada masa ini wujud tanda-tanda kematangan dari segi fizikal, pertumbuhan keinginan seksual, keinginan membuktikan kejantinaan masing-masing dan kesedaran tentang keperluan kerjaya.

Oleh yang demikian, zaman remaja merupakan satu tempoh yang penuh dengan kekeliruan, konflik dan krisis terutama berkaitan dengan diri kerana berlaku perubahan besar dari sudut biologi. Pada tika ini remaja sering dihambat oleh sifat ghurur , iaitu penyakit tertipu oleh perasaan sendiri. Konsep kendiri yang lemah membentuk hipotesis identiti yang lemah, ditambah pula dengan gelombang arus kemodenan dan kemaraunya asas pendidikan agama dalam diri telah menjadikan remaja sekarang berada pada tahap yang kritikal dari sudut akhlak dan keperibadian.

Justeru itu, institusi masjid perlu memainkan peranan semaksimum mungkin dalam usaha untuk menjadikannya sebagai sekolah kedua remaja atau khususnya lagi, sebagai medan pentarbiyahan jasadiyah dan kerohanian remaja agar hasil daripada tarbiyah yang telah diterima akan mampu menjadi perisai kepada remaja untuk menangkis setiap panahan cabaran dalam melalui mehnah dan tribulasi kehidupan pada masa yang mendatang.

Antara yang boleh dilakukan ialah, mengadakan program-program motivasi atau muhasabah yang sesuai untuk kalangan remaja, menganjurkan aktiviti-aktiviti seperti ekspidisi, perkhemahan, olahraga, program-program hiburan dan kesenian islam dan sebagainya. Selain daripada itu, pihak pentadbiran masjid boleh menubuhkan satu kelab khas untuk remaja-remaja masjid. Memanfaatkan tenaga dan idea remaja dalam menganjurkan aktiviti-aktiviti dan program-program masjid. Dengan ini, remaja-remaja akan merasakan bahawa diri mereka juga mempunyai kepentingan dalam mengimarahkan masjid di tempat masing-masing.

Disamping itu, melalui penglibatan para remaja ini dalam aktiviti-aktiviti ataupun program-program yang dianjurkan oleh pihak pengurusan masjid, secara tidak langsung dapat mendedahkan remaja-remaja ini akan keadaan sesebuah program atau aktiviti yang dianjurkan mengikut lunas-lunas syari’at Islam. Di sinilah secara tidak langsungnya juga membawa agenda tarbiyah dalam diri remaja-remaja melalui pemerhatian dan penglibatan mereka, mereka dapat merasai sendiri dan mampu membuat perbandingan, sekaligus dengan izin Allah s.w.t tidak mustahil remaja-remaja inilah suatu masa nanti yang akan menjadi “real supporter” kepada pengimarahan dan pembangunan institusi masjid.


MASJID : SEBAGAI SOLUSI PERMASALAHAN UMMAH

Masjid juga boleh memainkan peranan secara “2 in 1” . “2 in 1” di sini bermaksud dalam usaha untuk mentarbiyah, masjid juga boleh membantu masyarakat yang berada dalam kalangan fakir atau miskin atau kurang upaya. Bagaimanakah caranya? Sebagai contoh , masjid menyediakan satu program khas untuk membantu golongan ini. Program yang diadakan itu pula bukanlah hanya berbentuk kebajikan semata-mata, tetapi boleh diperkembangkan dengan memberikan mereka ilmu pengetahuan yang munasabah untuk dimanfaatkan dan boleh membantu mereka dalam menampung kehidupan mereka dikemudian hari. Antaranya seperti, mengadakan kelas-kelas kemahiran seperti kelas menjahit, kelas membuat kraftangan, kelas kemahiran automobil, kelas keusahawanan, kelas kemahiran Al-Quran, kelas kemahiran mengasuh kanak-kanak, kelas kemahiran pertanian, dan lain-lain lagi yang dirasakan sesuai mengikut suasana kehidupan masyarakat setempat .

Melalui kemahiran-kemahiran yang telah dipelajari itu nanti, bolehlah dijadikan sebagai aset kepada golongan tersebut untuk mencari mata pencarian untuk meneruskan kehidupan. Di samping memberikan mereka ilmu kemahiran, pada masa yang sama masjid juga sekaligus boleh menerapkan asas-asas Islam dalam diri setiap golongan ini agar suatu ketika apabila mereka telah berjaya mereka bukan hanya menjadi seorang ‘tukang’ yang mahir tetapi juga seorang ‘tukang’ yang mahir dan bertaqwa. Di sinilah peranan masjid sebagai medan tarbiyah, bukan hanya tarbiyah islamiyah tetapi juga “tarbiyah taqarrub billah ila mardhotilla".

Sebagai contoh, untuk mendidik ataupun ‘mentarbiyah’ ummah supaya mampu untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Masjid boleh memainkan peranan sebagai sebuah institusi keusahawanan dengan menyediakan satu kawasan khas untuk aktiviti-akitviti keusahawanan. Kemudian, secara tidak langsung, aktiviti-aktiviti perniagaan yang dilangsungkan akan diawasi oleh pegawai-pegawai masjid di masjid tersebut. Bila masuk waktu solat, para peniaga akan di minta untuk menunaikan solat terlebih dahulu sebelum menyambung semula urusan jual beli. Sekaligus, ini akan mentarbiyah ummah supaya akan menjadi seorang peniaga yang hatinya sentiasa utuh pergantungannya dengan Allah s.w.t .

Dari Abi Hurairah r.a, daripada Nabi s.a.w bersabda : “ Tujuh golongan yang dilindungi oleh Allah s.w.t dengan lindungan-Nya pada hari tiada pelindung melainkan dengan lindungan Allah : Pemimpin yang adil dan pemuda yang hidup hanya untuk beribadah kepada Allah s.w.t dan pemuda yang hatinya sentiasa terikat dimasjid dan dua orang pemuda yang mencintai Allah s.w.t yang bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, dan pemuda yang diajak oleh wanita yang mempunyai pangkat dan kecantikan maka dia berkata ; “Sesungguhnya aku takutkan Allah..”, dan pemuda yang bersedekah dengan sebenar-benar sedekah dan menyembunyikannya sehingga tangan kiri tidak mengetahui apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya, dan pemuda yang mengingati Allah sendirian lalu mengalir air matanya…”
( Hadith Shahih : Riwayat Bukhari & Muslim )




PENUTUP

Andai pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu masjid mampu menjadi sebuah institusi pembangunan sumber manusia yang produktif , tidak mustahil institusi masjid yang sedia ada pada masa kini juga mampu untuk menjadi sebuah institusi pembangunan modul insan yang inovatif. Namun, janganlah disempitkan peranan yang boleh dimainkan oleh sesebuah institusi masjid tersebut kerana Rasulullah s.a.w semdiri telah memberikan teladan kepada umatnya bagaiman dan sejauh mana sebenarnya peranan yang boleh dimainkan oleh sesebuah institusi masjid.

Bukanlah bermakna untuk mengambil alih semua peranan institusi-institusi lain, tetapi disinilah sebenarnya kayu ukur kepada sejauh mana kita mampu untuk menguruskan sumber manusia yang kita ada untuk meneruskan gerak kerja menegakkan syiar Islam pada masa mendatang. Disinilah juga sebenarnya, tempat terbaik untuk mentarbiyah ‘produk’ muslim kerana masjid merupakan tempat yang dirahmati Allah, rumah Allah dan taman-taman syurga-Nya di dunia.

Firman Allah s.w.t ;
“ Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian, serta (tetap) melaksanakan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada apa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk..”
( Surah At-Taubah : Ayat 18 )




RUJUKAN :

Al-Quran Al-Karim

Norrodzoh Hj Siren ( 2003 ) : “ Membangun Institusi Masjid ” , Selangor Darul Ehsan, Intel MULTIMEDIA AND PUBLICATION

Saibon bin Ismail ( 2007 ) : “ Indeks Kepada Penghayatan Kandungan Al-Quran “, Kelantan Darul Naim, DIAN DARULNAIM SDN.BHD

Al-Imam Al-Bukhary, Moh Abdai Rathomy ( 1980 ) : “ Shahih Bukhary “ , Surabaya, Toko Kitab “AL-ASRIYAH”

Syamsul Rijal Sys ( Editor ) ( 2002 ) : “ Membangun Umat Pilihan Melalui Masjid “, Aceh Darussalam, Pemerintah Daerah Provinsi Nanggroe Aceh Darussalam & AR-RIJAL INSTITUTE

Muhd Fadli Ismail ( 2003 ) : “ Peranan Masjid “, Kuala Lumpur, DARUL NU’MAN.

H.Aboebakar ( 1955 ) : “ Sejarah Masjid “, Jakarta, Fa.Toko Buku ,,Adil”

Mohamad Tajuddin Haji Mohamad Rasdi ( 1998 ) : “ The Mosque As a Community Development Centre “, Johor Darul Ta’zim, PENERBIT UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA

p/s ; dan beberapa laman sesawang yang tertentu.............

1 comment:




  1. https://drive.google.com/file/d/0B6ut4qmVOTGWMkJvbFpZejBQZWM/view?usp=drivesdk


    Salam


    Kepada:

     

    Redaksi, rektor dan para akademik


    Per: Beberapa Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang Disembunyikan


    Bagi tujuan kajian dan renungan. Diambil dari: almawaddah. info

    Selamat hari raya, maaf zahir dan batin. 


    Daripada Pencinta Islam rahmatan lil Alamin wa afwan


    ReplyDelete