Friday, May 7, 2010

Menyingkap Sejarah Dakwah 4 Nabi U'lul Azmi I .... ( Nabi Ibrahim a.s & Nabi Musa a.s )





Sejarah Awal Dakwah
Menyingkap Dakwah 4 Nabi Ulul Azmi a.s


Abstrak

Sejarah bermulanya dakwah ke atas manusia telah bermula sejak daripada zaman Nabi Adam a.s lagi, kemudian diteruskan oleh para utusan risalah Allah s.w.t yang lain sehinggalah kepada utusan Allah yang terakhir untuk umat akhir zaman, yakni Nabi Muhammad s.a.w. Menyingkap sejarah dakwah oleh empat orang nabi yang ulung dalam sejarah dakwah sehingga diberikan gelaran ‘ulul azmi’, pelbagai iktibar boleh diambil dan dijadikan sebagai panduan dalam usaha menyampaikan dakwah. Beberapa metod uslub, dan wasilah dakwah yang digunakan oleh para nabi ulul azmi terdahulu mungkin boleh diserapkan oleh para daie pada masa kini dalam mengahadapi realiti masyarakat sekarang. Bagi mendapatkan hasil kajian, metod pengumpulan data secara kualitatif dilakukan oleh pengkaji. Kebanyakan fakta adalah berdasarkan rujukan kepada beberapa buah buku ,jurnal, tafsir-tafsir al-Quran, laman web terpilih, majalah-majalah dan hasil temubual dengan beberapa orang graduan Pendidikan Islam dan Usuluddin, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Manakala penganalisaan dilakukan secara deduktif dan induktif. Hasil kajian mendapati beberapa metod,uslub dan wasilah dakwah para nabi ulul azmi yang boleh dipraktikkan oleh para daie masa kini, antaranya ialah kaedah muhawwarah (bercakap-caka/ berbincang-bincang) dengan mengajak manusia berfikir tentang kejadian alam melalui bukti-bukti kebesaran Allah s.a.w. Di samping itu, kaedah mujadalah ( berdebat ), dengan tujuan untuk menyentak golongan-golongan yang menolak kewujudan Allah agar mereka berfikir dan sedar. Selain itu, cuba untuk menerapkan pelbagai uslub dakwah yang sesuai mengikut tempat dan keadaan realiti masyarakat setempat kerana Islam adalah agama yang universal dan waqi’iyyah. Akhir sekali, dalam era globalisasi kini, kerakusan masyarakat mengejar kemajuan teknologi juga perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh para daie dengan sama-sama berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran diri menguasai teknologi yang ada bagi melancarkan dan mendominasi gerak kerja dakwah seperti ilmu sains dan teknologi tanpa menolak perlu adanya juga segolongan para daie yang harus menguasai cabang-cabang ilmu agama secara khusus.


Nabi Ibrahim al-Khalil a.s :

Baginda adalah kekasih Allah, orang kedua dari kelompok ulul ‘Azmi di antara para rasul. Baginda juga merupakan bapa kepada para Nabi yang besar. Dalam dakwahnya, Nabi Ibrahim a.s menerapkan sikap lemah lembut, memberi keterangan secara terperinci dan memberi petunjuk yang lebih baik. Al-Qur’an al-Karim banyak menceritakan secara terperinci kisah Nabi Ibrahim a.s dalam jumlah yang banyak pada beberapa surah.


• Biografi

Nama sebenarnya Ibrahim bin Aazar(Tarih) bin Nahor bin Sarugh bin Rgouh bin Falegh bin Aabir bin Soleh bin Arfakshyaz bin Saam bin Nuh a.s .Ayahandanya bernama Aazar (Tarih), manakala ibundanya bernama Umailah (Boona bt Karibta bt Kartisy).Mempunyai dua orang saudara kandung lelaki, iaitu Haron dan Nabi Luth a.s . Berkahwin dengan Sarah, anak kepada saudara lelakinya Haron. Kemudian baginda berkahwin lagi dengan Hajar untuk mendapatkan zuriat untuk meneruskan usaha dakwah baginda kerana setelah sekian lama baginda berkahwin dengan Sarah, baginda masih belum mendapat zuriat. Namun, dengan kuasa Allah yang Maha Kuasa, tidak berapa lama selepas Nabi Ismail a.s dilahirkan daripada rahim Hajar, Sarah pula yang mengandung dan kemudiannya melahirkan Nabi Ishak a.s pada usia yang cukup tua. Kedua-dua zuriat Nabi Ibrahim inilah yang kemudiannya menjadi pelopor kepada para nabi yang memimpin Bani Quraisy dan Bani Israel.


• Keadaan Masyarakat Nabi Ibrahim a.s :

Nabi Ibrahim a.s dilahirkan dalam kalangan masyarakatnya yang tidak mempercayai akan kewujudan Allah s.w.t dan memuja sesama makhluk. Mereka memuja patung berhala yang diwarisi daripada masyarakat Nabi Nuh a.s , iaitu masyarakat ‘Ad dan Thamud (masyarakat Babylion, yakni di negeri Babil tempat kelahiran Nabi Ibrahim a.s). Terdapat juga dalam kalangan mereka yang memuja cakerawala di langit seperti bulan,bintang,matahari (masyarakat di palestin), di samping kewujudan raja-raja mengaku dirinya sebagai Tuhan seperti Raja Namrud ibnu Kan’an. Ayah baginda sendiri merupakan seorang pengukir patung berhala yang terkenal dan banyak menghasilkan ukiran-ukiran patung berhala untuk dipersembahkan kepada raja dan kemudiannya dijadikan sebagai sembahan di rumah-rumah ibadat ataupun pada musim perayaan tertentu.


Dakwah Nabi Ibrahim a.s Kepada Ayahnya :

Sasaran dakwah Nabi Ibrahim a.s yang pertama sekali adalah ayahandanya.
Firman Allah s.w.t ,

Maksudnya : Jelaslah kisah Ibrahim yang ada di dalam al-kitab (al-Quran). Sesungguhnya dia adalah seorang yang benar dan seorang Nabi. Ingatlah ketika dia berkata kepada ayahnya ; ‘Ayah mengapa kamu menyembah sesuatu yang tidak mendengar, tidak melihat, dan tidak dapat menolong kamu sedikitpun? Ayah, sesungguhnya aku telah memperolehi ilmu yang tidak kamu dapat. Maka ikutlah aku. Aku akan membimbingmu (menuju) jalan yang lurus. Ayah janganlah kamu menyembah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu sangat derhaka kepada ar-Rahmaan (Tuhan yang Maha Pemurah). Ayah, sesungguhnya aku khuatir bahawa kamu akan mendapat azab dari ar-Rahmaan (Allah), lalu kamu menjadi teman syaitan.’
Ayahnya menjawab : ‘Ibrahim, apakah kamu tidak menyukai tuhan-tuhanku? Kalau kamu tidak menghentikan usahamu, pastilah engkau akan ku rejam. Dan tinggalkan aku selamanya.’
Ibrahim berkata : ‘Semoga keselamatan terlimpah untukmu. Aku akan memohonkan pengampunan bagimu kepada Tuhanku. Sesungguhnya Dia sangat baik kepadaku. Aku pasti akan menjauhkan diri darimu dan dari berhala-berhala yang kamu seru selain Allah. Akan akan berdoa kepada Tuhanku, semoga aku tidak kecewa dengan berdoa kepada Tuhanku.’
( Surah Maryam : 41-48 )

Dalam usaha dakwahnya, Nabi Ibrahim a.s amat berharap agar ayahnya bertaubat dan kembali kepada Allah. Namun, sebagai seorang anak ianya merupakan satu cabaran yang amat besar kepada baginda. Baginda telah menggunakan kaedah Muhawwarah dalam menyampaikan dakwah kepada ayahnya. Baginda cuba mengajak ayahnya untuk berbincang-bincang tentang ketuhanan dan cuma menyelami cara pemikiran ayahnya supaya baginda mampu untuk menyentak cara pemikiran ayah baginda sekaligus membuatkan ayahnya berfikir dan sedar akan kesilapannya.


Dakwah Nabi Ibrahim a.s Kepada Masyarakat Babilonia : Masyarakat Penyembah Berhala

Firman Allah s.w.t ,
Maksudnya : “ Sesungguhnya telah kami anugerahkan kepada Ibrahim hidayah kebenaran sebelum (Musa dan Harun). Kami mengetahui keadaanya. Ketika Ibrahim berkata kepada ayah dan kaumnya : ‘patung-patung apakah ini yang membuatkan dirimu bersungguh-sungguh menyembahnya?,
Mereka menjawab ; ‘Kami dapati bahawa nenek moyang kami menyembahnya’.
Ibrahim berkata ; ‘Kalau begitu, kamu dan nenek moyang kamu berada dalam kesesatan yang nyata’.
Mereka bertanya ; ‘Apakah kedatanganmu kepada kami dengan sungguh-sungguh, atau cuma bermain-main?.
Ibrahim berkata ; ‘Sebenarnya Tuhanmu adalah Tuhan (yang menguasai) langit dan bumi. Dialah Tuhan yang menciptakannya. Aku dapat membuktikan hal ini kepadamu. Demi Allah, aku akan berbuat sesuatu pada berhala-berhalamu,setelah kamu meninggalkan tempat ini!’
Maka Ibrahim menghancurkan berhala-berhala itu menjadi berpotong-potong. Hanya berhala
yang paling besar dibiarkan. Agar mereka (kembali untuk) bertanya kepadanya.
Mereka berkata ; ‘Siapakah yang menghancurkan tuhan-tuhan kami? Benar-benar ia termasuk orang yang zalim.’ Mereka (sebahagian yang lain menjawab) ; ‘Kami mendengar ada seorang pemuda yang suka mencela berhala-berhala ini, namanya Ibrahim.’
Mereka berkata ; (Tangkap dia,dan ) bawa ke mari dengan cara terang-terangan agar mereka saksikan.’

Mereka bertanya ; ‘Ibrahim, kamukah yang melakukan perbuatan ini terhadap tuhan-tuhan kami?,
Ibrahim menjwab ; ‘Sebenarnya yang melakukannya adalah patung yang besar itu. Cubalah kamu tanyakan kepadanya kalau ia dapat bicara.’
Maka mereka telah kembali kepada kesedaran mereka. Mereka berkata ; ‘Sesunggunhnya kamu sekalian adalah orang-orang yang menganiaya diri sendiri.’ Mereka menundukkan kepala seraya berkata ; ‘Sebenarnya kamu sudah tahu bahawa berhala-berhala itu tidak akan dapat bicara.’
Kata Ibrahim ; ‘Kenapakah kamu menyembah selain Allah? Sesuatu yang tidak bermanafaat dan tidak mendatangkan mudharat sedikitpun kepada kamu. Celakalah kamu beserta sembahanmu selain Allah. Apakah kamu tidak berakal? ‘
Mereka berkata ; ‘Bakar dia. Bantulah tuhan-tuhan kamu, kalau kamu ingin benar-benar bertindak!’
Kami berfirman ; ‘Hai api, jadilah dingin dan berilah keselamatan kepada Ibrahim. Mereka hendak berbuat jahat kepada Ibrahim. Maka Kami jadikan mereka orang-orang yang paling rugi.’
( Surah al-Anbiya’ : 51-70 )


Di sini, nabi Allah Ibrahim a.s, telah menggunakan pendekatan psikologi. Baginda sengaja memilih hari perayaan ulang tahun masyarakat Babilonia kerana pada hari tersebut semua penduduk babilonia akan keluar untuk menyambut hari yang dianggap bertuah itu diluar daerah. Sebelum itu, mereka akan meninggalkan berhala mereka dengan memberikan beberapa jenis sembahan seperti makanan yang lazat. Nabi Ibrahim a.s telah mengambil kesempatan ini untuk memusnahkan semua patung berhala yang ada di rumah ibadat masyarakat Babilonia dan meninggalkan sebuah patung berhala yang paling besar dengan tujuan untuk mengajak kaumnya berfikir akan tidak berkuasanya berhala yang mereka sembah selama ini. Setelah kaumnya kembali daripada menyambut perayaan ulang tahun, mereka telah mendapati berhala-berhala mereka telah dimusnahkan lalu merek mencari orang yang bertanggungjawab memusnahkan tuhan-tuhan mereka sehinggalah membawa kepada penemuan bukti yang menunjukkan bahawa Nabi Ibrahim a.s lah yang telah melakukan kemusnahan tersebut.

Nabi Ibrahim a.s tidak gentar untuk menghadapi kemarahan kaumnya, malah baginda memang sengaja untuk memilih hari tersebut kerana di situlah baginda akan dapat menyampaikan dakwah secara lebih meluas kerana ramai masyarakat Babilonia yang akan mendengar perbicaraan tersebut dan ramai orang akan mendengar hujah-hujah baginda dengan harapan agar kaumnya berfikir dan segera sedar daripada kesilapan mereka.
Setelah melalaui proses perbicaraan dengan para pembesar di hadapan sebilangan besar penduduk Babilonia, akhirnya baginda telah dijatuhkan hukuman bakar sampai mati. Namun, di sinilah Nabi Ibrahim a.s sekali lagi berjaya membuktikan kekuasaan Allah s.w.t di hadapan kaumnya selain melalui proses mujadalah yang telah berlangsung dalam proses perbicaraan sebelum baginda dijatuhkan hukuman bakar.
Setrelah peristiwa tersebut, ramai yang sedar akan kesilapan mereka dan akhirnya ramai yang dalam diam-diam menerima dan memeluk Islam.


Dakwah Nabi Ibrahim a.s Kepada Kaum Penyembah Bintang :

Firman Allah s.w.t ,
Maksudnya : “Demikian pula Kami perlihatkan kepada Ibrahim tanda-tanda keagungan (Kami) yang ada di langit dan di bumi. Yang demikian adalah supaya Ibrahim termasuk orang-orang yang berkeyakinan kuat. Apabila malam telah gelap, dia melihat bintang. Dia berkata ; ‘Inilah Tuhanku’. Tetapi apabila bintang itu tenggelam, dia berkata ; ‘Aku tidak menyukai sesuatu yang tenggelam’.
Ketika melihat bulan terbit, dia berkata ; ‘Inilah Tuhanku’. Tetapi setelah bulan itu terbenam, dia berkata ; ‘kalau Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat’.
Apabila melihat matahari terbit, dia berkata ; ‘Inilah Tuhanku. Ini yang lebih besar.’ Setelah matahari itu terbenam, dia berkata ; Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu sekutukan. Aku hadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi serta mengikuti agama yang lurus ( hanif ). Aku bukan termasuk orang-orang yang menyekutukan Tuhan.’
Namun Ibrahim dibanrtah oleh kaumnya, Ibrahim berkata ; ‘Apakah kamu hendak berbantah tentang Allah? Padahal Dia telah memberi petunjuk kepadaku. Aku tidak takut kepada (bencana dari) sembahan yang kamu persekutukan dengan Allah. Kecuali kalau Tuhanku mengkehendaki sesuatu. Pengetahuan Tuhanku meliputi segala sesuatu. Bagaimana kamu tidak mengambil pelajaran?’
‘Bagaimana aku perlu takut terhadap sembahan yang kamu persekutukan, sementara kamu tidak takut mempersekutukan Allah dengan sembahan yang tidak didukung oleh alasan kuat yang diturunkan oleh Allah. Maka manakah di antara dua pihak itu yang lebih berhak mendapat keamanan (dari malapetaka), jika kamu mengerti.’
‘ Orang-orang yang beriman dan tidak mencampur-adukkan keimanannya dengan kezaliman,
mereka itulah orang-orang yang mendapat jaminan keamanan. Mereka adalah orang-orang
yang mendapat petunjuk. Dan itulah hujah yang Kami berikan kepada Ibrahim untuk menghadapi
kaumnya. Kami angkat darjat sesiapa sahaja yang kami kehendaki. Sesungguhnya Tuhanmu
Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui.’
( Surah al-An’am : 75-83 )

Ketika berhijrah ke Palestin untuk meneruskan usaha dakwah, baginda telah menemui satu kaum yang menyembahn bintang ( haikal ). Di sini sekali lagi baginda telah memilih pendekatan untuk menyelami pemikiran mereka dan cuba menimbulkan kesedaran dalam pemikiran mereka melalui kaedah psikologi dan menimbulkan persoalan-persoalan yang akhirnya membawa kepada betapa lemahnya tuhan yang mereka sembah dan Maha Kuasanya Allah s.w.t .



Dakwah Nabi Ibrahim a.s Kepada Pemerintah Babilon : Raja Namrud

Firman Allah s.w.t ,

Maksudnya : “Tidaklah kamu perhatikan orang yang berdebat dengan Ibrahim mengenai Tuhannya ( Allah). Sesungguhnya Allah telah memberinya kerajaan. Ketika itu Ibrahim berkata ; ‘Tuhanku adalah Dzat yang menghidupkan dan mematikan.’
Orang itu menjawab ; aku juga boleh menghidupkan dan mematikan.’
Ibrahim berkata ; ‘Allah menerbitkan matahari dari timur. Cuba terbitkan dia dari barat’.
Orang kafir itupun terdiam kebingungan. Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang zalim.’
( Surah al-Baqarah : 258 )

Nabi Ibrahim a.s juga tidak gentar untuk berhadapan dengan raja ataupun pembesar yang memerintah pada ketika itu. Baginda telah berdebat dengan Raja Nmarud yang mana pada akhirnya baginda telah berjaya menundukkan hujah Raja Namrud.




Metod , Uslub dan Wasilah Dakwah Nabi Ibrahim a.s

1. Metod Dakwah
- Kaedah muhawwarah ( berbincang-bincang/bercakap-cakap )
- Kaedah Mujadalah ( berdebat )

2. Uslub Dakwah
- Menerapkan sikap lemah lembut, memberi keterangan secara terpeinci dan memberi petunjuk yang lebih baik.

3.Wasilah Dakwah
- Kontrovesi: Mengatur strategi agar dirinya dapat dibicarakan dikhalayak ramai dan memilih pada hari sambutan perayaan besar suku kaumnya agar ramai yang akan mendengar hujah/dakwahnya.
Contoh : Memutuskan untuk menghancurkan berhala-berhala yang menjadi sembahan kaumnya, pada suatu perayaan yang di anggap keramat oleh kaumnya.

- Mukjizat : Ketika peristiwa pembakaran Nabi Ibrahim a.s oleh kaumnya secara besar-besaran, di mana baginda telah di selamatkan oleh Allah s.w.t .

- Perniagaan : Melalui perniagaan yang di usahakannya bersama saudara kandungnya Nabi Luth a.s ketika mereka berhijrah ke Mesir.


Iktibar Daripada Sejarah Dakwah Nabi Ibrahim a.s :

• 1. Para daie perlu berani dalam menegakkan sesuatu yang hak dan batil. Terutamanya yang berkaitan dengan masalah Aqidah.

• 2. Sentiasa bersiap sedia untuk berdepan dengan hujah-hujah para “mad’u” dengan sentiasa menambah ilmu agama di dada.

• 3. Berani untuk mengemukakan masalah-masalah yang berkaitan dengan tauhid, syirik dan kekafiran secara terang-terangan tanpa rasa takut melalui pelbagai metod yang ada pada masa kini seperti melaui televisyen, radio, internet, surat khabar dan sebagainya dalam usaha untuk menentang kebatilan.

• 4. Berani untuk berhadapan dengan pemerintah untuk membincangkan soal yang hak dan batil dalam masyarakat.

• 5.Keyakinan yang tinggi terhadap perlindungan dan bantuan Allah s.w.t kepada hambaNya yang menegakkan agamaNya.






Nabi Musa a.s

Penentangan Musa a.s ke atas Firaun telah berakhir dengan tenggelamnya sang tokoh durhaka ke
dalam laut dan atas kehendak Allah s.w.t tubuh Firaun telah terapung semula ke laut untuk dilihat oleh kaumnya sebagai pengajaran bagi orang-orang yang menolak kebenaran yang telah disampaikan oleh Nabi Musa a.s .


• Biografi Nabi Musa a.s :

Baginda bernama Musa bin Imran bin Qohats bin ‘Aazar bin Laawi bin Yaakub bin Ishak bin Ibrahim a.s . Baginda adalah daripada keturunan bani Israel (Yahudi). Ibunya bernama Yukabad.


• Keadaan Masyarakat Nabi Musa a.s

Secara ringkasnya, masyarakat Nabi Musa a.s berada dalam keadaan kekejaman Firaun sebagai Raja dan pemerintah yang berkuasa di Mesir pada ketika itu. Firaun telah membunuh bayi lelaki sewenang-wenangnya setelah tukang tilik yang berkhidmat dengannya menceritakan tentang tafsir mimpinya bahawa pada suatu ketiika kelak akan lahir seorang bayi lelaki yang akan menghancurkan kerajaannya. Firaun juga merupakanseorang raja yang takbur dan bongkak sehingga sanggup mengaku dirinya sebagai Tuhan dan menyuruh rakyatnya menyembahnya.

Bani Israel yang berada di bawah pemerintahan Firaun telah ditindas dan dizalimi sesuka hati. Di samping, masyarakat Nabi Musa juga tidak terlepas daripada golongan yang memuja bermacam-macam benda. Akhlak masyarakat pada zaman Nabi Musa a.s rosak kerana akhlak yang mulia sudah dilupai dan tidak diamalkan dalam kehidupan seharian. Rujuk surah al-Qasas, ayat 1-6 .


Kisah Dakwah Nabi Musa a.s Kepada Firaun Dalam Al-Quran :

Firman Allah s.w.t ,

Maksudnya : “Firaun berkata ; Bukankah kami telah mengasuhmu diantara (keluarga) kami waktu kamu masih kanak-kanak dan kamu tinggal diantara (keluarga) kami beberapa tahun dari umurmu. Dan kamu telah berbuat sesuatu perbuatan yang telah kamu lakukan itu dan kamu termasuk golongan orang-orang yang tidak membalas jasa.
Berkata Musa ; “Aku telah melakukannya sedang aku diwaktu itu termasuk orang-orang yang khilaf. Lalu aku lari meninggalkan kamu ketika aku takut kepadamu, kemudian Tuhanku memberikan kepadaku ilmu serta Dia menjadikan salah seorang di antara rasul-rasul. Budi yang kamu limpahkan kepadaku ini adalah (disebabkan) perhambaan darimu terhadap Bani Israel.
Firaun bertanya ; “Apa Tuhan semesta alam itu?”
Musa menjawab ; “Tuhan pencipta langit dan bumi dan apa yang diantara keduanya (itulah Tuhanmu) jika kamu sekalian (orang-orang) mempercayainya.
Berkata Firaun kepada orang-orang disekelilingnya ; “Apakah kamu tidak mendengarkan?
Musa berkata ; “Tuhan kamu dan tuhan nenek-nenek moyang kamu yang dahulu.”
Firaun berkata ; Sesungguhnya Rasulmu yang diutus kepada kamu sekalian benar-benar gila.”
Musa berkata ; “Tuhan yang menguasai timur dan barat dan apa yang ada diantara keduanya (itulah Tuhanmu) jika kamu mempergunakan akal.
Firaun berkata ; “Sungguh jika kamu menyembah tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikanmu salah seorang yang dipenjarakan.
Musa berkata ; “Dan apakakah kamu (akan melakukan itu) walaupun aku tunjukkan kepadamu sesuatu keterangan yang nyata?”
Firaun berkata ; “Datangkanlah sesuatu (keterangan) yang nyata jika kamu adalah termasuk orang-orang yang benar”
Maka Musa melemparkan tongkatnya, lalu tiba-tiba tongkat itu (menjadi) ular. Dan ia menarik tangannya (dari dalam saku bajunya) , maka tiba-tiba tangan itu menjadi putih (bersinar) bagi orang-orang yang melihatnya.
Firaun berkata kepada pembesar-pembesar yang berada di sekelilingnya ; “Sesungguhnya Musa itu benar-benar seorang ahli sihir yang pandai, ia hendak mengusir kamu dari negeri kamu sendiri dengan sihirnya, maka kerana itu apakah yang kamu anjurkan?”
Mereka menjawab ; “Tundalah (urusan) dia dan saudaranya dan kirimkanlah ke seluruh negeri orang-orang yang akan mengumpulkan(ahli sihir). Nescaya mereka akan mendatangkan semua ahli sihir yang pandai kepadamu.
( Surah as-Syura : 18-38 )


Dakwah Nabi Musa a.s Kepada Kaumnya, Bani Israel.

Secara ringkasnya, hasil daripada peristiwa Nabi Musa dengan Firaun , ramai dalam kalangan Bani Israel telah menjadi pengikut Nabi Musa a.s . Namun, selepas pada peristiwa tersebut, telah berlaku satu peristiwa yang amat mengecewakan nabi Musa a.s ketika mana dia sedang menerima wahyu daripada allah s.wt di Thur Sina, umatnya yang ditinggalkan sementara hanya selama 40 haridi bawah pengawasan saudaranya nabi Harun a.s telah kembali kufur setelah di dakyah oleh seorang munafiq yang turut serta dalam rombongan Nabi Musa, iaitu Samiri. Samiri telah berusaha mengghasut kaum bani israel yang tidak sabar dan kecewa dengan kelambatan Nabi Musa untuk membawakan sebuah kitab, yakni Taurat untuk menjadi pegangan mereka dan mendakwa Nabi Musa a.s telah meninggalkan mereka dalam kegelapan. Di sinilah, samiri memainkan peranannya dan menghasut kaum Bani Israel hingga akhirnya mereka sekali lagi berada dalam kesesatan dan kufar dengan menjadikan patung berbentuk seperti anak lembu
sebagai sembahan mereka.

Keadaan kaumnya ini telah membuatkan Nabi Musa a.s seakan-akan
kecewa. Allah menerangkan keadaan Nabi Musa a.s ini dalam surah al-Syu’ara’ : 16-17 ,

Maksudnya :
”Musa berkata ; wahai Tuhanku, aku tidak menguasai kecuali diriku sendiri dan saudaraku. Sebab itu pisahkanlah antara kami dengan orang-orang yang fasiq itu..”

2 comments:

  1. berapa lama nabi musa a.s berdakwah dan berapa ramaikah yang menganut agama islam

    ReplyDelete